KLIK JANGAN TAK KLIK

11 Sept 2011

MENDAMBA KESEMPURNAAN

   "Aku ni kalau nak kahwin, aku nak cari yang pandai masak. Senang sikit hidup aku nanti, makan kat rumah je." Lelaki A berkata kepada lelaki B.

   Disambut pula dengan lelaki B. "Aku pulak nak yang solehah, tudung labuh. Sejuk je mata memandang."

   Di suatu tempat yang lain pula, terlihat seorang gadis remaja sedang termenung di jendela rumahnya, hatinya bersuara sambil tersenyum sendirian...

   "Kalaulah aku dapat berkahwin dengan lelaki yang beriman, alangkah bagusnya. Boleh lah dia membimbing aku, mengimamkan solat. Bahagianya.."

   Jika ditelusuri setiap hati pemuda pemudi masa kini, pastinya mereka mengidamkan yang terbaik untuk dijadikan pasangan hidup. Tiada siapa pun dalam dunia ini ingin menjadikan seseorang yang jahat sebagai teman hidup mereka, hatta jika ditanya kepada mat-mat gian sekali pun, mereka mahu seorang yang solehah sebagai isteri mereka.

   Memanglah tidak menjadi kesalahan jika setiap hati di dunia ini mendambakan seorang molek paras serta perwatakannya sebagai pasangan, kerana itu sememangnya fitrah manusia yang menginginkan sesuatu yang terbaik.
25:74
Dan orang-orang yang berkata: Ya Tuhan kami, anugerahilah kiranya kami ini dari isteri-isteri dan keturunan kami yang men­jadi cahayamata, dan jadikanlah kiranya kami ini menjadi Imam ikutan daripada orang-orang yang bertakwa kepada Engkau

(surah Alfurqan ayat 74)

   Namun, dalam pada kita menjenguk di luar jendela mengintai si soleh dan si solehah, jangan pula kita lupa menjadikan diri kita sebagai si soleh atau si solehah. Adalah sangat tidak adil jika bersungguh-sungguh kita mahukan yang baik sedang diri kita masih jauh untuk mencapai tahap kelayakkan untuk mendapatkan pasangan yang soleh atau solehah. Apakah si soleh dan si solehah yang kita idamkan itu mahukan kita yang tidak sesempurna mana ini?

24:26
   (Lazimnya) perempuan-perempuan yang jahat adalah untuk lelaki-lelaki yang jahat, dan lelaki-lelaki yang jahat untuk perempuan-perempuan yang jahat; dan (sebaliknya) perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik, dan lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik
(surah Annur ayat 26)

   Kita perlu sedar tugas kita adalah untuk menjadikan diri ini soleh ataupun solehah. Itulah bekalan kita untuk kita persembahkan kepada Sang Pencipta sewaktu kita dipanggil oleh-Nya nanti.

   Tidak perlu mencari teman secantik Balqis,
   Andai diri tidak sehebat Sulaiman.

   Tidak perlu seteguh Ibrahim,
   Andai diri tidak sekuat Hajar.

   Mengapa mengharap teman setampan Yusuf,
   Jika kasih tidak setulus Zulaikha.
 
   Mengapa didamba teman hidup sehebat Khadijah,
   Andai tidak sesempurna Rasulullah S.A.W.

   

 

 

 

No comments:

Islamic Calendar

SAHABAT

BUKAN KERNA NAMA