KLIK JANGAN TAK KLIK

15 Aug 2011

DI MANAKAH KITA


SEBUAH NUKILAN CERMINAN DIRI....

   Alhamdulillah, setelah sekian lama akhirnya saya berpeluang menulis di blog saya yang telah bersawang ini. Syukur juga padaNya, kini telah sebulan saya berkelana di bumi kelantan demi mencari sebutir mutiara ilmu. Begitu banyak pengetahuan yang saya peroleh apabila saya berada di jabatan farmasi, hospital kuala krai ini. Memang tidak dinafikan, terlampau jelas perbezaan antara teori yang di dapati di kelas dan praktikal yang di lakukan. Semuanya memerlukan pengalaman dan pengalaman itu lahir dari sebuah kesilapan yang dilakukan.

   Sedar tak sedar, sudah separuh purnama kita berada dalam  bulan ramadhan. Di pusat-pusat membeli belah, ramai yang sudah sibuk mencari pakaian-pakaian, dan perhiasan-perhiasan untuk di"tayang" menjelang syawal. Bagi yang muda, pasti semuanya "up-to-date" supaya tak mahu dipandang seperti nenek-nenek mahupun atuk-atuk. Ibu-ibu pula, semestinya sibuk dengan langsir, permaidani dan perabot-perabot yang baru untuk tampak hebat di hari lebaran. Semua ini sudah menjadi perkara "fardhu" bagi kita semua.

   Jika direnung sejenak, adakah hanya setakat itu ramadhan dan syawal bagi kita semua? Bulan ramadhan di jadikan bulan pesta makanan apabila setiap petang kita dihidangkan dengan segala macam juadah yang kita sendiri tidak pernah lihat dan tak diketahui mana asal usulnya. Hari raya pula menjadi medan untuk kita mengalirkan semua wang kita yang telah kita tuai sejak setahun yang lalu. Adakah ramadhan dan syawal hanya setakat itu?

   Inilah bulan yang mana pusat-pusat membeli belah banyak menawarkan harga-harga yang sangat istimewa bagi barangan mereka. Inilah juga bulan di mana butik-butik pakaian menawarkan perkhidmatan yang cukup hebat untuk pelanggan-pelanggan mereka. Dalam bulan ini jugalah kita tidak mahu melepaskan peluang berlumba-lumba memenuhi tawaran-tawaran hebat tersebut.

   Tetapi kita semua lupa, Allah juga membuka tawaran yang lebih hebat kepada hamba-hambaNya. Dalam sebuah hadis qudsi, Allah berfirman, Setiap amalan anak Adam itu baginya (ganjaran pahala yang ada hadnya), kecuali puasa, kerana sesungguhnya puasa itu untuk-Ku, dan Akulah yang akan memberikan balasannya, dan puasa itu perisai, dan apabila seseorang itu berpuasa, maka janganlah ia mengeluarkan kata-kata lucah dan tidak juga bercakap kasar. Sekiranya ada orang lain yang mengejinya atau ingin berkelahi dengannya, maka katakanlah: Sesungguhnya aku berpuasa. Dan demi jiwa Muhammad di tangan-Nya, sesungguhnya bau mulut orang yang berpuasa lebih wangi di sisi Allah daripada haruman kasturi, untuk orang yang berpuasa itu dua kegembiraan; ketika dia berbuka, satu kegembiraan baginya, dan tatkala dia bertemu dengan Tuhannya, dia akan gembira dengan ibadah puasanya. (Riwayat Bukhari dan Muslim).

   Inilah yang sebenar-benarnya tawaran yang sepatutnya kita kejarkan. Siapakah yang berlumba-lumba mengejar tawaran ini? Malang sekali, di surau-surau dan di masjid-masjid masih lagi dipenuhi oleh mereka-mereka yang sudah berusia dan dimamah usia. Di manakah anak-anak muda? Di manakah kita?
 
   Ketika kita sibuk memilih makanan di bazar ramadhan untuk hidangan berbuka puasa, mereka hanya senyum dengan hidangan buah tamar dan segelas air sejuk dan menuggu untuk mendirikan solat maghrib. ketika kita ghairah berpusu-pusu ke pusat membeli belah untuk memborong pakaian-pakaian yang indah, mereka dengan tenang berdiri menghidupkan malam-malam bulan ramadhan dengan terawih dan seterusnya bertahajud sambil mengharapkan keampunan Allah yang pintunya terbuka luas dalam bulan ini.

   Alangkah ruginya jika dalam bulan yang penuh keampunan dan rahmat Allah ini pun kita masih belum mendapat keampunan daripada Allah, apatah lagi dalam bulan yang lain?Alangkah ruginya kita. Nabi S.A.W bersabda,  Sesungguhnya Jibril telah muncul kepadaku dan berkata :
Binasalah dia yang mendapati Ramadhan tetapi belum juga diampunkan. Maka aku
berkata, amin."

   Separuh ramadhan telahpun berlalu, di manakah amalan kita, di manakah kita? Adakah kita mahu menjadi orang yang rugi? Kita telahpun berada di dunia, mengapa kita mahu mencari dunia lagi? Siapkanlah diri kita mencari akhirat yang kita belum tahu bagaimana keadaaan kita di sana nanti. Tidak perlu lagi mencari perkara yang sudah kita pasti kita berada di dalamnya......  
 

Islamic Calendar

There was an error in this gadget

SAHABAT

BUKAN KERNA NAMA