KLIK JANGAN TAK KLIK

25 Nov 2009

MEMAHAMI ERTI KEHIDUPAN

“(Dia) yang menjadikan kematian dan kehidupan untuk menguji kamu siapakah di kalangan kamu yang lebih baik amalannya, dan Dia yang Maha Perkasa dan Maha Pengampun.” (Al-Mulk: 2)
“Jom kita enjoy dulu, hidup ni cuma sekali ja.” “Masa muda cuma datang sekali, bila lagi kita nak berseronok?” Boleh jadi anda pernah terdengar percakapan seperti ini diucapkan, kebiasaannya oleh golongan muda remaja. Mengikut pemikiran biasa, rugilah sekiranya seseorang remaja menghabiskan umurnya tanpa merasai apa yang selalu diistilahkan sebagai “enjoy”, “relax”, dan “fun”. Malah bagi orang dewasa sekalipun ada kalanya berasa tidak puas dan selalu terfikir untuk mencari keseronokan-keseronokan yang baru, sebab “hidup ni cuma sekali, bila lagi nak merasa?”
Timbul persoalan; bagaimanakah sepatutnya kita memahami konsep kehidupan kita? Apakah yang sepatutnya difahami bila menyebut “hidup ini cuma sekali saja?” Hakikat ini digambarkan secara jelas di dalam Surah al-Mulk ayat 2. Allah berfirman: “(Dia) yang menjadikan kematian dan kehidupan…” Cuba perhatikan ayat ini, kenapa Allah menyebut kematian dahulu sebelum kehidupan. Bukankah kita hidup dahulu sebelum mati? Sudah tentu setiap penyusunan perkataan al-Qur’an menyimpan maksud tertentu kerana Allah tidak berfirman sesuatu secara sia-sia.
Ulama’ tafsir membuat penjelasan bahawa Allah menyebut “kematian dan kehidupan” bertujuan memberi gambaran kepada kita bahawa semua makhluk termasuk kita berasal daripada keadaan tiada, sehinggalah Allah menciptakan kita. Pada masa itu bermulalah kehidupan kita dari alam roh, kemudian kita berpindah ke alam rahim, lalu dilahirkan oleh ibu ke alam dunia. Di dunia kita melalui kehidupan dalam seribu satu macam keadaan. Kemudian apabila sampai masa yang ditetapkan kita meninggalkan dunia dan transit di alam kubur, menanti tibanya Hari Kebangkitan (Qiyamah), hari yang amat dahsyat dan menggerunkan, merupakan pintu masuk ke sebuah alam yang kekal abadi, itulah alam Akhirat. Apabila berlakunya Hari Qiyamah berpindahlah kita dari alam kubur ke alam akhirat. Di alam ini, kita juga melalui kehidupan dalam seribu satu macam keadaan. Cuma bezanya, jika di dunia kita sengsara, sengsara akhirat berkali-kali ganda dahsyatnya; jika di dunia kita bahagia, bahagia akhirat berkali-kali ganda nikmatnya. Bahkan perbezaan terbesar adalah; sengsara atau bahagia di dunia adalah sementara, tetapi sengsara atau bahagia di akhirat kekal selama-lamanya.
Begitulah maksud firman Allah; Allah menciptakan kematian iaitu suatu keadaan di mana kita tiada wujud, kemudian Dia menciptakan kehidupan iaitu bermula dari penciptaan kita di alam ruh lalu berpindah ke alam-alam yang lain hingga akhirnya ke alam Akhirat, alam yang penghabisan, yang kekal abadi. Dengan kata lain apabila Allah mula menciptakan kita, sebenarnya tiada lagi konsep kematian. Apa yang berlaku selepas itu hanyalah perpindahan kehidupan dari satu alam ke alam yang lain. Kerana itu terdapat sya’ir Arab yang bermaksud:
“Tiadalah kematian itu melainkan hanyalah;
 perpindahan dari kampung yang fana menuju kampung kekal abadi.”
 Justeru, seharusnya jelaslah kini kepada kita bahawa hakikat kehidupan merupakan satu hakikat yang sangat luas, sangat panjang dan tiada penghujungnya. Apa yang pasti, nasib keadaan kehidupan kita yang panjang ini hanya ditentukan oleh masa hidup kita di dunia yang sangat singkat ini. Apalah nilainya kalaupun kita dipanjangkan umur sehingga seratus tahun di dunia, sedangkan hanya satu hari di akhirat sudah menyamai 1000 tahun masa di dunia.
Memahami akan hakikat inilah, Rasulullah SAW telah berpesan kepada kita seperti yang diceritakan oleh Abdullah bin Umar: “Rasulullah SAW telah memegang bahuku seraya bersabda: “Hiduplah kamu di dunia ini seolah-olah kamu seorang perantau atau seorang musafir lalu.” Ibn Umar juga pernah berkata: “Apabila engkau berada di waktu petang, maka janganlah engkau menunggu (ketibaan) waktu pagi dan apabila engkau berada di waktu pagi, maka janganlah engkau menunggu (ketibaan) waktu petang. Ambillah peluang dari kesihatanmu untuk masa sakitmu dan masa hidupmu untuk matimu.” (Riwayat al-Bukhari)

No comments:

Islamic Calendar

SAHABAT

BUKAN KERNA NAMA