KLIK JANGAN TAK KLIK

31 Oct 2009

ZINNIRAH

  Zinnirah adalah seorang gadis yangberasal dari Rome. Kehidupan keluarganya sangat miskin dan dalamkeadaan serba kekurangan. Ketika berlaku satu peperangan besar di Rome ,Zinnirah terpisah daripada keluarganya lalu menjadi tawanan perang.
 
   Sejak itu dia dijual sebagai hamba dan sering bertukar tangan. Sepanjang menjadi hamba abdi, Zinnirah dilayan dengan kasar dan adakalanya diperlakukan seperti binatang oleh tuannya. Suatu hari Zinnirah berkenalan dengan seorang hamba yang senasib dengannya.
  
   Perkenalan itu akhirnya membawa Nur Islam dalam diri Zinnirah kerana hamba itu menerangkan ajaran yang disampaikan oleh Rasulullah. Penerangan yang tulus itu membuka hati Zinnirah untuk memeluk Islam. Namun, dia terpaksa melakukan ibadat secara rahsia kerana tuannya memusuhi Islam.
  
    Nasibnya lebih malang apabila dia bertukar tangan kepada bangsawan Quraisy yang sangat berpengaruh masa itu, Umar Al-Khattab. Ketika itu, Umar belum memeluk Islam dan juga tidak mengetahui keIslaman Zinnirah. Umar yang sangat memusuhi Rasulullah terkenal dengan bengis dan kasarnya sehingga digeruni, baik lawan maupun kawan.
   
  Akhirnya, Umar mengetahui mengenai keIslaman  Zinnirah apabila suatu hari dia mendengar gadis itu membaca al-Quran. Ini menimbulkan kemarahan Umar yang mahu menghukumnya dengan siksaan berat.
  
“Tahukah kamu apa hukuman yang layak untukmu?” Tanya Umar keras dengan wajah bak singa sambil mengheret Zinnirah ke tengah padang pasir. Di situ, Umar mengikat kaki dan tangan Zinnirah dan menjemurnya di tengah panas terik. “Inilah caranya supaya kamu insaf,” katanya lalu meninggalkanZinnirah di situ.

    Walaupun mukanya perit dipanah matahari dan kehausan, Zinnirah tabah menghadapi penderitaan itu sambil mulutnya tidak berhenti membisikkan Allah.. Allah…Apabila melihat hamba abdinya belum insaf, Umar menyeretnya ke pinggir kota dan mengikatnya di tiang. Dia menyuruh orang mengorek mata Zinnirah sehingga buta. Walaupun darah bercucuran daripada matanya dan dia diejek oleh orang kafir Quraisy yang percaya dia dilaknat tuhan Lattadan Uzza, iman Zinnirah tidak luntur malah mampu berkata, “Sekalipun aku dibunuh, kepercayaanku masih tetap pada Allah yang Esa. “Penderitaannya itu akhirnya sampai ke pengetahuan Abu Bakar as-Siddiq yang membeli Zinnirah dengan harga tinggi. Sejak itu, dia tekun beribadat dan dengan kurnia Allah, kedua-dua matanya yang buta itu bercahaya semula. Peristiwa yang mengagumkan ini menyebabkan ramaiorang Quraisy memeluk Islam.

27 Oct 2009

40 Nasihat Saiyidina Ali Ibn Abi Talib

Berikut adalah 40 nasihat Saiyidina Ali Ibn Abi Talib sebagaimana yang terdapat di dalam kitab Nahjul Balagh oleh Saiyidina Ali Ibn Abi Talib dan kitab Al Bayan Wattabyeen oleh Al Imam Abu Othman Amru Ibn Bahr Al Jaahidh r.a.
 
1. Pendapat seorang tua adalah lebiih baik daripada tenaga seorang muda.
2. Menyokong kesalahan adalah menindas kebenaran.
3. Kebesaran seseorang itu bergantung dengan qalbunya yang mana adalah hanya sekeping daging.
4. Mereka yang bersifat pertengahan dalam semua hal tidak akan menjadi miskin.
5. Jagailah ibubapamu, nescaya anak anakmu akan menjagai kamu.
6. Bakhil terhadap apa yang ditangan adalah tidak mempunyai kepercayaan terhadap Allah s.w.t.
7. Kekayaan seorang bakhil akan turun kepada ahli warisnya atau ke angin. Tidak ada yang lebih terpencil daripada seseorang bakhil.
8. Seorang arif adalah lebih baik daripada arif. Seorang jahat adalah lebih baik dari kejahatan.
9. Ilmu adalah lebih baik daripada kekayaan kerana kekayaan harus dijagai, sedangkan ilmu menjaga kamu.
10. Jagalah harta bendamu dengan mengeluarkan zakat dan angkatkan kesusahanmu dengan mendirikan solat.
11. Sifat menahan kemarahan adalah lebih mulia daripada membalas dendam.
12. Mengajar adalah belajar.
13. Berkhairatlah mengikut kemampuanmu dan janganlah menjadikan keluargamu hina dalam kemiskinan.
14. Insan terbahagi kepada 3 : mereka yang mengenal Allah, mereka yang mencari kebenaran dan mereka yang tidak berpengetahuan dan tidak mencari kebenaran.
Golongan terakhir inilah yang paling rendah dan tidak baik sekali dan mereka akan ikut sebarang ketua dengan buta seperti kambing.

15. Insan tidak akan melihat kesalahan seorang yang bersifat tawadhu’ dan lemah.
16. Janganlah kamu takut kepada sesiapa melainkan dosamu terhadap Allah.
17. Mereka yang mencari kesilapan dirinya sendiri adalah selamat daripada mencari kesilapan orang lain.
18. Harga diri seseorang itu adalah berdasarkan apa yang ia lakukan untuk memperbaiki dirinya.
19. Manusia sebenarnyasedang tidur tetapi akan bangun apabila ia mati.
20. Jika kamu mempunyai sepenuh keyakinan akan Al Haq dan kebenaran, nescaya keyakinanmu tetap tidak akan berubah walaupun terbuka rahsia rahsia kebenaran itu.
21. Allah s.w.t merahmati mereka yang kenal akan dirinya dan tidak melampaui batasnya.
22. Sifat seseorang itu tersembunyi disebalik lidahnya.
23. Seseorang yang membantu adalah sayapnya seseorang yang meminta.
24. Insan tidur diatas kematian anaknya tetapi tidak tidur diatas kehilangan hartanya.
25. Barangsiapa yang mencari qpq yqng tidak mengenainya nescaya hilang apa yang mengenainya.
26. Mereka yang mendengar orang yang mengumpat terdiri daripada golongan mereka yang mengumpat.
27. Kegelisahan adalah lebih sukar dari kesabaran.
28. Seorang yang hamba kepada syahwatnya adalah seorang yang lebih hina daripada seorang hamba kepada hamba.
29. Orang yang dengki, marah kepada orang yang tidak berdosa.
30. Putus harapan adalah satu kebebasan, mengharap (kepada manusia) adalah suatu kehambaan.
31. Sangkaan seorang yang berakal adalah suatu ramalan.
32. Seorang akan mendapat teladan diatas apa yang ia lihat.
33. Taat kepada perempuan (selain ibu) adalah kejahilan yang paling besar.
34. Kejahatan itu mengumpulkan kecelakaan yang memalukan.
35. Jika berharta, berniagalah dengan Allah dengan bersedekah.
36. Janganlah kamu lihat siapa yang berkata tetapi lihatlah apa yang dikatakannya.
37. Tidak ada percintaan dengan sifat yang berpura pura.
38. Tidak ada pakaian yang lebih indah daripada keselamatan.
39. Kebiasaan lisan adalah apa yang telah dibiasakannya.
40. Jika kamu telah menguasai musuhmu, maafkanlah mereka, kerapa perbuatan itu adalah syukur kepada kejayaan yang telah kamu perolehi.

26 Oct 2009

ILMU IKHLAS

“Mari ku ajarkan ilmu ikhlas.” Kata seorang guru kepada anak muridnya.

“Nanti saya ambilkan buku dan pena untuk menulis,”

“Tak payah, bawa sahaja karung guni”

“Karung guni?” Kata anak muridnya seolah-olah tidak percaya.

“Mari kita ke pasar!”

Dalam perjalanan ke pasar mereka melalui jalan yang berbatu-batu.

“Kutip batu-batu yang besar dan masukkan ke dalam karung guni itu." Kata guru itu memberi arahan. Tanpa soal, anak muridnya memasukkan batu-batu besar yang mereka temui sepanjang jalan.

“Cukup?”

“Belum. Isi sampai penuh karung guni itu.” Sampai di pasar, mereka berdua tidak membeli apa-apa. Hanya belegar-legar dan melihat-lihat kemudian beredar ke luar.

“Tuan guru, kita tidak beli apa-apa?”

“Tidak. Bukankah karung gunimu sudah penuh?”

“Ya,ya…” Kata si murid, agak kelelahan.

“Banyak Beli barang.” Tegur seorang kenalan apabila melihat mereka dengan guni yang kelihatan penuh.

“wah, tentu mereka berdua ini orang kaya! Banyak sungguh barang yang mereka beli.'' Kata seseorang.

“Agaknya mereka hendak buat kenduri besar kot," Kata yang lain pula.

Sebaik kembali ke tempat tinggal mereka,si murid meletakkan guni yang berisi batu-batu tadi. “Oh,sungguh letih! Apa yang kita hendak buat dengan batu-batu ini tuan guru?”

“Tak buat apa-apa”

“Eh,kalau begitu letih sajalah saya.” Balas anak murid.

“Letih memang letih tapi kamu dah dapat ilmu ikhlas”

“Ikhlas?” Tanya anak murid kehairanan.

“kamu dah belajar apa akibatnya kalau tidak ikhlas dalam beramal”

“Dengan memikul batu-batu ini?”

“Ya, batu-batu itu umpama amalan yang riyak. Tidak ikhlas. Orang memujinya seperti orang-orang di pasar tadi yang memuji kamu banyaknya barang yang kamu beli. Tapi, kamu sendiri tahu itu bukan barang makanan atau keperluan,tetap hanya batu-batu.”

“Amal yang tidak ikhlas umpama batu-batu ini?

“Ya, hanya berat sahaja ditanggung. Dipuji orang, tetapi tidak ada nilainya di sisi Allah, yang kamu dapat, hanyalah penat.”

“ya, sekarang saya faham apa akibatnya beramal tetapi tidak ikhlas!” Ujar si murid.

Pengajaran: Ramai manusia yang tertipu dalam beramal kerana mengharapkan pujian. Padahal kata-kata pujian hakikatnya hanya menyebabkan diri terseksa kerana terpaksa hidup dalam keadaan yang bermuka-muka. Rugi benar orang yang tidak ikhlas, terseksa di dunia juga terseksa di akhirat.

21 Oct 2009

AYAT ALQURAN PADA KULIT BAYI


MOSCOW - Pakar-pakar perubatan di Rusia bingung berikutan penemuan ayat-ayat suci al-Quran dan Arab pada kulit seorang bayi berusia sembilan bulan di Dagestan, Rusia, lapor sebuah akhbar semalam.


Ayat-ayat itu muncul pada belakang, tangan, kaki dan perut Ali Yakubov pada setiap malam Isnin dan Jumaat sebelum hilang tetapi diganti dengan beberapa ayat al-Quran baru dua kali seminggu.

Pakar-pakar perubatan Rusia menyatakan, mereka tidak tahu bagaimana fenomena itu boleh berlaku selepas perkataan Allah mula muncul pada dagu bayi tersebut ketika dia berusia beberapa minggu.

Namun, ketika mengulas mengenainya, pakar-pakar perubatan dan keluarga bayi itu mengaku bahawa ayat-ayat suci itu menjelma sendiri pada badan Ali dan bukan ditulis oleh manusia.

"Ali akan berasa kurang sihat manakala suhu badannya meningkat kepada 40 darjah Celsius setiap kali ia berlaku menyebabkan dia menangis," kata ibunya Madina Yagubova.

Kini, tempat Ali dilahirkan iaitu di Kampung Red Oktober, Dagestan menjadi tumpuan orang ramai yang mahu melihat keanehan itu.

Paparan mengenai kejadian aneh di Dagestan, wilayah selatan Rusia yang menjadi sasaran pertempuran antara tentera Rusia dengan pejuang-pejuang Islam itu turut dipaparkan di laman perkongsian video YouTube.

"Ali merupakan tanda kebesaran Tuhan. Kelahirannya di Dagestan bagi menyedarkan penduduknya supaya bersatu," kata seorang ahli parlimen di wilayah itu, Akhmedpasha Amiralaev. - Agensi

12 Oct 2009

MENGELAKKAN SIKAP TAKBUR

Imam Ghazali telah memberi beberapa panduan untuk mengelakkan sikap takbur ini:

-Apabila berjumpa kanak-kanak, anggaplah mereka lebih mulia daripada kita kerana kanak-kanak belum dibebani dosa.

-Apabila berhadapan dengan orang tua pula, anggaplah juga mereka lebih mulia kerana lebih lama beribadah daripada kita.

-Ketika berjumpa orang alim, anggaplah beliau lebih mulia kerana banyak ilmu.

-Apabila melihat orang jahil anggaplah juga mereka lebih mulia kerana berbuat dosa disebabkan kejahilan sedangkan kita berbuat dosa dalam keadaan mengetahuinya.

-Jika berjumpa orang jahat, jangan anggap kita mulia. Tetapi, katakanlah mungkin orang jahat itu akan bertaubat pada masa tuanya, sedangkan kita belum tahu akhirnya.

-Begitu juga apabila bertemu orang kafir. Katakan, belum tentu dia akan kafir selama-lamanya. Lawan sifat sombong ialah tawaduk atau rendah diri.

2 Oct 2009

SISTEM EKONOMI ISLAM

Berbicara tentang sistem ekonomi, lazimnya kefahaman akan jelas terarah kepada konsep asas ekonomi iaitu penawaran dan permintaan. Penawaran yang melebihi permintaan menyebabkan harga barangan jatuh sebaliknya jika permintaan melebihi penawaran, keuntungan pasti dapat dicapai dengan harga barangan yang tinggi.

Perkaitan antara penawaran dan permintaan ini bergantung kepada nilai matawang sesebuah negara tidak kira samada ia dalam bentuk Ringgit Malaysia, Dolar Amerika mahupun Riyal Saudi.

Secara ringkasnya ekonomi adalah aktiviti manusia yang terlibat dengan barangan, buruh, pekerjaan dan pertukaran barangan melalui import dan eksport.

Ekonomi sebenarnya bukan setakat kejayaan dalam bentuk perdagangan import dan eksport, jual beli secara konvensional atau pun sistem barter yang diamalkan oleh tamadun awal manusia. Ekonomi adalah satu sistem yang menyeluruh merangkumi soal kebijaksanaan, etika dan prinsip tertentu untuk menjana ketamadunan manusia dan kekukuhan ekonomi sesebuah negara.

Prinsip asas sistem ekonomi Islam adalah unik berbanding sistem ekonomi lain waima sistem ekonomi British yang diagung-agungkan oleh Barat. Adam Smith, ahli ekonomi Barat pada abad ke-18 menegaskan prinsip asas ekonomi Barat seperti berikut: hak harta persendirian, kuasa individu seperti pemerintah atau raja (pemonopoli mata wang), keyakinan, rasional dan keadaan ekonomi itu sendiri.

Imam Al-Ghazali dalam kitabnya "Ihya Ulumuddin" mentakrifkan ekonomi sebagai `Iqtisad`. Sementara itu, As-Sadr mengulas mengenai `Iqtisad` dengan meletakkan tiga prinsip asas yang digabung jalin secara teoritikal dan praktikal dalam sistem ekonomi Islam. Prinsip-prinsip itu adalah prinsip pemilikan harta bersandarkan bahawa semua harta adalah kepunyaan Allah, prinsip keadilan sosial dan prinsip kebebasan berekonomi dengan batasan tertentu (mengikut syariah Islamiah).

Allah berfirman yang bermaksud:
“Kepunyaan Allah segala apa yang ada di langit dan di bumi. Dan jika kamu melahirkan apa yang ada di dalam hati atau kamu sembunyikannya, nescaya Allah akan membuat perhitungan dengan kamu tentang perbuatanmu itu. Maka Allah mengampuni siapa yang dikehendakiNya dan menyiksa siapa yang dikehendakiNya. Allah Maha Berkuasa atas segala sesuatu.” (Surah al-Baqarah: 284)

Firman-Nya lagi :
“Kerajaan Allah segala apa yang ada dilangit dan di bumi. Dan Allah Maha Berkuasa ke atas segala sesuatu.” (Surah ali-Imran:189)

Jelas di sini, bahawa Islam meletakkan umat manusia sebagai pengurus, pelaksana segala apa yang diwujudkan oleh Allah di atas muka bumi ini sebagai khalifah. Justeru, dalam ekonomi Islam, pelaku ekonomi adalah khalifah yang memakmurkan, menjana segala sumber alam dalam proses mentadbir jagat raya ini. Ini bermakna manusia bertanggungjawab secara langsung terhadap Allah kerana sumber ekonomi manusia datangnya daripada Allah yang memiliki alam ini.

Oleh yang demikian, tugas pemakmuran ekonomi ini dipertanggungjawabkan kepada pemerintah dan individu itu sendiri bertunjangkan prinsip syariah Islamiah. Soal halal-haram termaktub dalam prinsip ekonomi berlandaskan Islam ini.

Komponen kedua sistem ekonomi Islam adalah prinsip keadilan sosial. Ia boleh dianggap sebagai yang terpenting kerana ekonomi Islam tidak berkonsepkan monopoli hak sehingga menindas pihak lain. Imejan keadilan sosial ini disulami dengan dua tunjang iaitu tanggungjawab secara umum dan keseimbangan sosial masyarakat.

Tabatebaei, seorang penganalisis ekonomi Islam berpendapat, tanggungjawab secara umum itu disimpulkan kepada berpegang kepada tali Allah. Konsep mentauhidkan Allah membantu kecemerlangan ummah khususnya dalam mengurus, menjana dan meningkatkan ekonomi masyarakat. Sebagai umat Islam, wajib untuk mempercayai adanya akhirat. Oleh itu, demi mendapat sejahteraan di alam akhirat kelak, pengurusan ekonomi khususnya dan pekerjaan lain amnya harus dilakukan sebaik mungkin dengan penuh rasa ikhlas, tawadduk dan sempurna tanpa meninggalkan perkara wajib yang dianjurkan oleh Allah dan Rasul.

Sementera itu, keseimbangan sosial yang digariskan dalam sistem ekonomi Islam adalah soal perkara-perkara asas dalam hubungan sesama manusia. Berzakat dan mengelakkan perbuatan riba adalah sesuatu yang wajib dilaksanakan oleh umat Islam. Dalam ertikata lain, zakat adalah ‘penyucian harta’ setelah cukup nisab dan khaulnya kerana terdapatnya hak kumpulan fakir miskin yang wajib dibantu. Prinsip asasnya di sini adalah Islam tidak menggalakkan kecemburuan sosial dan jurang ekonomi yang luas antara golongan miskin dan kaya.

Firman Allah dalam al-Quran yang bermaksud:
“Sesungguhnya zakat-zakat itu, hanyalah untuk orang-orang fakir, orang-orang yang miskin, pengurus-pengurus zakat (amil), para mualaf (golongan baru memeluk Islam), untuk budak (memerdekakan), orang yang berhutang di jalan Allah dan musafir yang sedang dalam perjalanan sebagai suatu ketetapan yang diwajibkan oleh Allah. Dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.” (Surah at-Taubah: 90)

Begitu juga dengan riba. Islam melarang umatnya mengamalkan riba (bunga yang tinggi) kerana ia jelas menindas orang lain terutama mereka yang kurang berkemampuan. Secara logiknya, mengenakan riba ke atas sesuatu barangan memang menguntungkan para peniaga.

Namun dari satu sudut, riba boleh menyebabkan berlakunya ketidakseimbangan ekonomi. Kuasa beli pengguna akan semakin mengecil dan nilai matawang juga akan merosot. Sekiranya keadaan ini berlaku, ekonomi akan menjadi tidak menentu.

Soal halal-haram begini dan impaknya ke atas pihak lain, tidak pernah ada dalam kamus ekonomi Barat. Apa yang dipentingkan adalah sistem ekonomi yang dilaksanakan itu dapat memberikan keuntungan kepada pelaku ekonomi. Dalam ertikata lain ‘matlamat menghalalkan cara’ tidak kira walau apa pun sistem yang dilaksanakan, keuntungan tetap menjadi isu utama bukannya soal keadilan sosial sebagaimana yang dianjurkan oleh Islam.

Umat Islam seharusnya bersyukur dengan wujudnya satu sistem ekonomi Islam yang benar-benar mapan ke arah merealisasikan ummah yang cemerlang daripada aspek sahsiah, jasmani, emosi, rohani dan ekonominya.
Top Email kepada kawan

Islamic Calendar

SAHABAT

BUKAN KERNA NAMA